Perutusan

Para anggota SHAMELIN yang dihormati sekalian.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 Koperasi Shamelin Berhad ("KSB") telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM11,068,475.00 berbanding RM8,256,567.00 dalam tahun 2015.

Kumpulan Wang Anggota Koperasi meningkat kepada RM58.057 juta berbanding RM51.863 juta dalam tahun 2015. Kumpulan wang anggota kumpulan pula naik dari RM49.115 juta kepada RM55.319 juta.

Sejajar dengan prestasi baik yang dicapai dalam tahun kewangan 2016 itu, Lembaga telah mencadangkan untuk memberi dividen sebanyak 15% daripada jumlah modal syer anggota pada 30 Jun 2016 berjumlah sebanyak RM3.703 juta, tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-33 ini dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia ("SKM").

PENCAPAIAN PADA TAHUN 2016

Keuntungan sebelum cukai yang dicapai oleh KSB berakhir 31 Disember 2016 sebanyak RM11.068 juta itu adalah melalui perolehan pendapatan sebanyak RM25.251 juta setelah mengambil kira jumlah perbelanjaan sebanyak RM14.183 juta.

Punca utama pendapatan ialah daripada perolehan-perolehan melalui pembangunan tapak perdagangan seluas 3.02 ekar dan 1.13 ekar di Taman Shamelin Perkasa sebanyak RM22.056 juta, perniagaan skim kemudahan kredit sebanyak RM1.015 juta dan melalui penyewaan Shamelin Business Centre dan Dataran SHAMELIN sebanyak RM1.612 juta dan melalui pendapatan daripada beberapa pelaburan lain sebanyak RM0.568 juta.

Manakala jumlah perbelanjaan adalah terdiri daripada pentadbiran dan pengurusan sebanyak RM2.328 juta, hal ehwal anggota dan Lembaga sebanyak RM0.819 juta, perbelanjaan kewangan RM0.693 juta, pelupusan hartanah sebanyak RM6.294 juta, kos ke atas aktiviti-aktiviti sebanyak RM1.650 juta serta lain-lain sebanyak RM0.577 juta.

Dalam tahun 2016 KSB telah memperuntukkan sebanyak RM1.298 juta sebagai hutang ragu ke atas pinjaman yang tidak berbayar oleh peminjam skim kemudahan kredit. Usaha-usaha yang berterusan akan dijalankan oleh KSB bagi menangani kutipan baki pinjaman yang tidak berbayar.

KSB juga telah memperuntukan hutang ragu dan rosotnilai pelaburan dalam subsidiari serta menghapuskira perbelanjaan lain sebanyak RM0.524 juta.

ANGGOTA DAN SYER

Jumlah modal syer anggota yang terkumpul berakhir 31 Disember 2016 daripada seramai 21,414 orang anggota ialah sebanyak RM27,079,539.00. Jumlah ini termasuk syer bonus anggota sebanyak RM4,947,537.00.

Jumlah anggota yang telah memohon menarik diri dan meninggal dunia ialah seramai 543 orang yang melibatkan pemulangan jumlah syer sebanyak RM467,019.00. Dalam tahun 2016, manfaat skim khairat kematian sebanyak RM376,500.00 telah dibayar kepada 193 waris anggota yang telah meninggal dunia dan RM12,500.00 lagi kepada 25 anggota yang mana tanggungannya termasuk isteri-isteri dan anak-anak yang telah meninggal dunia.

Jumlah individu berdaftar yang belum lagi menjelaskan bayaran penuh syer RM100.00 adalah seramai 12,008 orang melibatkan sejumlah wang terkumpul sebanyak RM444,708.05.

Daripada peruntukan sebanyak RM175,600.00 untuk Tabung Pendidikan dan Kebajikan, sejumlah RM49,600.00 telah dibelanjakan untuk sumbangan pendidikan sepanjang tahun 2016. Daripada jumlah ini sebanyak RM13,600.00 disumbangkan di bawah kategori hadiah cemerlang akademik kepada seramai 55 orang anak-anak anggota yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3, SPM, SMA, STPM, STAM, Matrikulasi dan Program Asasi. Sebanyak RM36,000.00 pula disumbangkan di bawah kategori insentif pelajaran kepada seramai 80 orang anak-anak anggota yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi.

Bagi sumbangan kebajikan pula, sejumlah RM19,900.00 telah dibelanjakan sepanjang tahun 2016 di mana manfaat tersebut telah diberikan kepada 44 orang anggota yang ditimpa musibah.

PROSPEK DAN CABARAN

Pembangunan hartanah di atas tapak seluas 3.02 ekar di Taman Shamelin Perkasa dengan membina sebanyak 630 unit 'service apartment' setinggi 35 tingkat dan 30 lot komersial telah dijalankan secara usahasama dengan Landmark Zone Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Perduren Berhad, sebuah syarikat senarai awam. Projek ini telah siap pada Disember 2016.

Usahasama ini akan memberi anggaran pulangan sebanyak RM77.00 juta kepada KSB dalam tempoh 4 tahun yang mana RM31.50 juta dalam bentuk tunai dan RM45.50 juta dalam bentuk hartanah.

Sehingga akhir tahun 2016, jumlah pulangan yang telah diterima oleh KSB ialah sebanyak RM58.22 juta dan dijangkakan dalam tahun 2017 ini akan menerima sebanyak RM18.78 juta lagi sebagai pulangan ke atas usahasama ini.

KSB juga telah pun memeterai satu usahasama dengan sebuah syarikat, HKS Development Sdn Bhd bagi membangunkan tapak seluas 1.13 ekar di Taman Shamelin Perkasa dengan pembinaan sebanyak 318 unit 'service apartment' yang bakal memberi pulangan sebanyak RM28.89 juta dalam tempoh 4 tahun yang mana RM7.30 juta merupakan bayaran tunai dan RM21.59 juta dalam bentuk hartanah. Projek ini telah dilancarkan pada 10 Disember 2015 dan dijangka siap pada akhir tahun 2019. Sehingga akhir tahun 2016, KSB telah menerima pulangan sebanyak RM4.0 juta ke atas usahasama ini.

KSB buat masa ini juga sedang menjalankan pembangunan memajukan 78 unit rumah teres setingkat dengan pemaju Khatammi Development Sdn Bhd di Jalan Mawar, Mukim Kapar, Klang di atas tanah rezab Melayu seluas 5.25 ekar. KSB telah membeli tanah tersebut dengan harga RM2.40 juta dan telah mendahulukan perbelanjaan kos pembangunan sebanyak RM2.65 juta. Projek pembangunan ini telah dilancar dan mula dijual pada akhir bulan Mei 2016. Setakat bulan Mei 2017, sebanyak 60 unit atau 77% telah terjual dengan nilai jualan berjumlah RM14.40 juta. Pulangan tunai dari projek ini adalah sebanyak RM4.0 juta dalam tempoh 2 tahun.

Selain itu KSB akan terus mengkaji tanah-tanah yang sesuai untuk dimajukan samada secara sendiri atau melalui jalinan kerjasama dengan pemaju swasta yang dapat memberikan pulangan yang baik untuk KSB.

KSB telah menjadi penyedia perkhidmatan takaful melalui Takaful Ikhlas Sdn Bhd yang menawarkan pelbagai rangkaian insuran antaranya ialah insuran motor, insuran perlindungan peribadi, insuran perniagaan serta insuran hayat.

Perkhidmatan takaful adalah sebahagian usaha KSB untuk melibatkan anggota dalam perniagaan yang dijalankan dengan hasrat untuk memberikan pulangan yang baik kepada anggota serta KSB dan seterusnya memperkasakan aktiviti kawasan.

PENUTUP KATA

Anggota Lembaga dan pengurusan KSB merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan Lembaga, pasukan pengurusan dan Jawatankuasa Audit Dalaman atas usaha dan sumbangan yang telah diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen yang berterusan. Penghargaan dan terima kasih juga ditujukan kepada institusi-institusi kewangan, jabatan-jabatan kerajaan, kontraktor-kontraktor, pembekal-pembekal dan individu-individu di atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan selama ini.

/Dalam usaha untuk meneruskan kejayaan KSB, Anggota Lembaga mengharapkan anggota-anggota dapat sama-sama menyumbang dalam bentuk syer, tenaga dan buah fikiran dan seterusnya merealisasikan KSB sebagai sebuah koperasi yang berjaya, disegani dan dihormati bukan sahaja di Malaysia malahan di dunia. InsyaAllah.