Aturan Tabung Kebajikan

1.Nama

  1. Aturan–aturan ini adalah dinamakan aturan-aturan Tabung Kebajikan Koperasi Shamelin Berhad.
  2. Aturan-aturan ini diwujudkan di bawah undang-undang kecil 46(2)(x) Koperasi ini dan dikuatkuasakan selepas persetujuan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi ini.
 

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi Bahagian Hal Ehwal Anggota :

Telefon
Faks
+ 03 9285 2155
+ 03 9285 5606

 

2.Tafsiran

Dalam Aturan-aturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain :

  1. Akta maknanya Akta Koperasi 1993 dan pindaan-pindaan yang dibuat kepadanya dari semasa ke semasa;
  2. Anggota termasuklah seseorang yang turut sama dalam permohonan pendaftaran Koperasi ini dan seseorang yang diterima menjadi anggota mengikut Peraturan dan Undang-undang Kecil ini selepas pendaftaran sebagaimana yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta;
  3. Aturan maknanya aturan-aturan Tabung Kebajikan Koperasi Shamelin Berhad;
  4. Koperasi maknanya Koperasi Shamelin Berhad;
  5. Lembaga maknanya Lembaga Koperasi Shamelin Berhad;
  6. Peraturan maknanya Peraturan-peraturan Koperasi yang dibuat di bawah Akta dan pindaan-pindaan yang dibuat kepadanya dari semasa ke semasa;
  7. Pengerusi Eksekutif maknanya Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia;
  8. Sipenerima maknanya anggota yang menerima wang sagu hati atau sumbangan dari Tabung ini;
  9. Tabung ertinya Tabung Kebajikan Koperasi Shamelin Berhad iaitu satu tabung yang dibentuk untuk memberi manfaat kepada anggota apabila ditimpa musibah seperti bencana alam, menghidap penyakit kronik dan menjalankan aktiviti-aktiviti amal jariah kepada badan-badan kebajikan bukan kerajaan yang berdaftar; dan
  10. Undang-undang Kecil maknanya Undang-undang Kecil Koperasi Shamelin Berhad dan termasuklah sesuatu pindaan berdaftar kepada Undang-undang Kecil ini.

Perkataan-perkataan yang bererti tunggal atau jamak, masing-masing hendaklah meliputi tunggal dan jamak, dan perkataan yang bererti jenis laki-laki hendaklah meliputi jenis perempuan.

3.Tujuan

Tujuan Tabung ini ialah untuk memberi sumbangan kepada anggota-anggota yang ditimpa musibah atau penyakit kronik bagi meringankan bebanan yang ditanggung dan bukannya ganti rugi ke atas kehilangan harta benda atau penyakit yang dialami dan sebagainya serta sumbangan ikhlas sebagai program amal jariah Koperasi.

4.Jenis-Jenis Sumbangan

Bencana Alam

  1. Banjir (dalam istilah kesemua kategori) dimana kawasan persekitaran, tempat kediaman ditenggelami air dan perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
  2. Gempa bumi dimana kawasan persekitaran tempat kediaman tidak boleh diduduki dan boleh mengancam keselamatan.
  3. Kebakaran atau ribut yang mengakibatkan tempat kediaman mengalami kerosakan yang teruk.

Penyakit-penyakit kronik seperti sakit buah pinggang atau penyakit yang memerlukan rawatan berpanjangan dan memerlukan kos perubatan yang tinggi.

Sumbangan kepada badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti rumah anak-anak yatim dan lain-lain sebagai program amal jariah Koperasi Shamelin Berhad.

5.Jumlah Pemberian

KETERANGAN SUMBANGAN
Bencana Alam RM 500.00
Penyakit Kronik RM 500.00
Program Amal Jariah RM 500.00

6.Kelayakan

  1. Semua anggota Koperasi Shamelin Berhad yang telah genap setahun keanggotaannya adalah layak memohon.
  2. Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berdaftar dan diiktiraf oleh Kerajaan.
  3. Seseorang anggota Koperasi ini boleh mengemukakan permohonan sebanyak tiga (3) kali dalam tempoh satu (1) tahun apabila berlaku sesuatu musibah / bencana alam.
  4. Sumbangan ini hanya diberikan kepada anggota sahaja dan tidak termasuk tanggungan anggota yang mengalami penyakit-penyakit kronik seperti sakit buah pinggang atau penyakit yang memerlukan rawatan berpanjangan dan memerlukan kos perubatan yang tinggi.

7.Syarat-Syarat Permohonan

Sekiranya berlaku musibah / bencana alam, anggota hendaklah mengemukakan permohonan secara bertulis dan dialamatkan kepada Jawatankuasa Pentadbiran dan Keanggotaan Koperasi Shamelin Berhad berserta dokumen-dokumen berikut :

Bencana Alam

  1. Surat permohonan;
  2. Salinan kad pengenalan;
  3. Salinan laporan polis;
  4. Surat sokongan dan pengesahan dari Pengerusi Kawasan, Penghulu / Ketua Kampung atau Jawatankua Kemajuan dan Keselamatan Kampung; dan
  5. Gambar kejadian

Semua permohonan di bawah kategori ini hendaklah dikemukakan dalam tempoh sembilan puluh (90) hari dari tarikh kejadian berlaku dan selepas tempoh tersebut permohonan tidak akan dipertimbangkan.

Penyakit Kronik

  1. Surat permohonan;
  2. Salinan kad pengenalan; dan
  3. Salinan laporan doktor (Pegawai Perubatan)

Program Amal Jariah

Surat permohonan dari Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan berserta dokumen-dokumen sokongan yang disahkan.

8.Pelaksanaan

  1. Kesemua permohonan yang disahkan termasuk surat sokongan daripada Pengerusi atau Jawatankuasa Kawasan hendaklah dihantar terus kepada Jawatankuasa Pentadbiran & Keanggotaan untuk diluluskan dan seterusnya disahkan oleh Lembaga.
  2. Sumbangan Tabung ini akan dibayar terus kepada penerima-penerima setelah mendapat kelulusan.

9.Pindaan Kepada Aturan-Aturan

  1. Aturan-aturan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Undang-undang Kecil Koperasi dan Akta serta Peraturan-peraturan.
  2. Lembaga Koperasi ini, dengan persetujuan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi ini bolehlah meminda peruntukan dalam aturan ini apabila difikirkan mustahak untuk memudahkan perjalanan dan pengurusan Tabung ini.